I made this widget at MyFlashFetish.com.

23 Januari 2011

Jaringan Sosial di Malaysia

Di Malaysia, trend ke arah komunikasi berbentuk jaringan boleh dilihat apabila semakin ramai yang menggunakannya. Ini disokong dengan laporan comScore World Matrix yang menunjukkan kadar penembusan jaringan sosial di Malaysia yang agak tinggi, iaitu 66.6 peratus―berada di belakang Singapura (74.3 peratus), dan Korea Selatan (68 peratus). Jika dilihat dari segi purata minit yang diluangkan terhadap jaringan sosial per pelawat, Malaysia menduduki tempat kedua dengan 181.2 minit selepas Korea (227.8 minit), diikuti dengan Singapura (175.6 minit). Ini menunjukkan masyarakat di Malaysia―serta negara Asia Tenggara yang lain―sedang mengalami transisi atau perubahan dalam bentuk komunikasi mereka yang menyaksikan pembentukan masyarakat jaringan yang menjadikan penggunaan media digital atau interaktif sebagai medium komunikasi utama mereka.
Di Malaysia, laman jaringan sosial yang paling popular ialah Facebook. Ini diikuti dengan YouTube, Friendster, MySpace, dan Tagged. Malah Twitter juga semakin popular sejak kebelakangan ini dan menduduki tempat kelapan sebagai laman sosial yang popular dewasa ini di Malaysia menurut Alexa.
Bil.
Laman Jaringan Sosial
Kedudukan Trafik Malaysia berdasarkan Alexa (Julai 2009)
Pelawat Malaysia berdasarkan Perancangan Iklan Googgle
1
Facebook
3
3,600,000
2
YouTube
4
-
3
Friendster
8
4,200,000
4
MySpace
11
2,100,000
5
Tagged
12
1,800,000
Disebabkan semakin ramai yang menggunakan laman sosial, maka wujud beberapa laman sosial tempatan seperti ialah youKawan.com, myRakan.com, Ruumz.com, Kakiis.com, dan eNetmind.com (yang akan dilancarkan tidak lama lagi). Ruumz dilihat sebagai laman jaringan sosial tempatan yang menarik dan menawarkan ciri-ciri sosial yang lazimnya ada dalam sesebuah laman sedemikian di samping beberapa ciri yang wajar diberi perhatian seperti blog, wayang, muzik, dan sebagainya. Kakiis pula merupakan komuniti jaringan sosial dalam talian dan mobil yang menghubungkan orang ramai melalui jaringan sahabat untuk berkomunikasi, berkongsi maklumat, dan membina persahabatan. Kedua-duanya mempunyai ciri yang hampir sama dengan laman jaringan sosial antarabangsa. Namun, laman-laman ini belum lagi mendapat sambutan ramai seperti laman sosial antarabangsa. Ini mungkin kerana ia masih baharu dan kurang diketahui ramai.
Berdasarkan kajian rintis dan pemerhatian turut serta terhadap beberapa laman sosial yang dilakukan, pada peringkat awal pengenalannya di Malaysia beberapa tahun yang lepas, jaringan sosial dalam talian ini banyak digunakan oleh golongan muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang menetap di bandar-bandar besar yang sememangnya mempunyai akses kepada kemudahan Internet. Sebagai golongan yang gemar bereksperimen dengan perkara baharu, termasuk teknologi, mereka menggunakan media sosial untuk berinteraksi sesama sendiri, termasuk rakan sekolah yang boleh ditemui setiap hari. Kebanyakannya menggunakan nama samaran, namun ia diketahui oleh sahabat masing-masing. Ketika ini, penggunaan e-mel mula digantikan dengan mesej-mesej (atau komen) di laman jaringan sosial yang digunakan. Laman jaringan sosial berbentuk umum lebih digemari berbanding jenis-jenis yang lain kerana ia tidak mengehadkan penggunanya.
Namun, trend itu dipercayai mulai berubah sejak kebelakangan ini. Ini kerana semakin ramai golongan dewasa dan organisasi perniagaan yang menggunakan media sosial ini untuk meluaskan jaringan ke peringkat global. Daripada hanya sebagai alat untuk berseronok, jaringan sosial ini digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk pendidikan, politik, dan perniagaan. Oleh sebab itu, dilihat pengguna media ini semakin meluas yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuklah golongan profesional seperti doktor, ahli akademik, ahli perniagaan, selebriti, dan ahli politik. Malah, ramai golongan ibu bapa yang mula menyertai jaringan sosial dalam talian ini untuk berinteraksi dengan anak-anak yang tinggal berjauhan dengan mereka atau melanjutkan pelajaran di luar negara. Laman-laman sebegini juga digunakan untuk mengekalkan hubungan dengan saudara-mara yang jarang ditemui kerana kekangan masa. Maka, semakin ramai yang menggunakan identiti sebenar dalam profil masing-masing. Selain itu, laman-laman jaringan sosial ini semakin menarik dan tidak lagi berasaskan teks semata-mata, malah wujud juga aplikasi dalam bentuk mudah alih (mobile) dan 3D.

Sumber diambil daripada "http://ezaleila.wordpress.com/2010/02/24/penggunaan-laman-jaringan-sosial-di-malaysia"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan